Wednesday, May 17, 2017

PAS AKAN DIANGGAP SEMACAM PARTI BEBAS

Pemimpin PAS mungkin merasakan bahawa ahlinya pada Kurun ke 21 masih boleh ‘dicucuk hidung’. Pemimpin PAS anggap ahlinya akan terus taat dan setia sekiranya lambang Islam itu digunakan untuk menarik minat mereka.Anggapan sedemikianlah yang menyelubungi fikiran dan perasaan pemimpin PAS apabila mereka sanggup memutuskan hubungan dengan PKR dan parti-parti lain.

Orang putih kata, ‘ a friend in need is a friend indeed’. Tindakan PAS adalah sebaliknya. Bukan sekali dan bukan dua mereka beritndak  sedemikian terutama apabila mereka merasakan bahawa peranan mereka amat diperlukan untuk menstabilkan sesuatu keadaan politik yang kucar-kacir. Mereka telah menunjukkan belang mereka apabila berhadapan dengan kemelut politik di Selangor ketika berlaku ‘Kajang move’ dahulu. Mereka seolah-olah tidak peduli apa perasaan rakan dan derita yang dialami oleh rakan dalam keadaan sedemikian. Yang penting bagi mereka ialah menyelamatkan diri mereka.

Dalam PRU 13 yang lalu PAS seolah-olah telah ‘menghadiahkan’ kerusi percuma kepada BN di N39, Kota Damansara.  Jelas bahawa kerusi berkenaan adalah milik Pakatan Rakyat sebelum itu ia itu Dr Mohd Nasir Hashim. Sepatutnya PAS merelakan Dr. Nasir bertanding di kerusi berkenaan, namun disebabkan ketamakan PAS yang seolah-olah mahu juga bertanding di DUN berkenaan maka PAS telah meletakkan calon di situ. Keputusannya BN memenangi kerusi berkenaan dengan mendapat undi sebanyak 16,387 undi sedangkan Mohd Nasir Hashim memperolehi 14,860 undi sementara PAS mendapat 7.312 undi. Sekiranya PAS memberi laluan kepada PKR maka sudah tentu kerusi berkenaan dipegang oleh PKR hingga sekarang.

Apakah PKR masih lagi merasakan bahawa PAS sebagai rakan as ‘a friend in need is a friend indeed’. Banyak lagi contoh-contoh yang booleh diuatarakan untuk membuktikan bahawa PAS berlagak ‘curang’ ketika dalam keadaan memerlukan.

Atas dasar yang demikianlah agaknya PAS merasakan dirinya cukup kuat untuk memberikan kemenangan kepada BN dalam PRU 14 yang akan datang. PAS lupa bahawa sekiranya diperincikan maka PAS tidak akan menang walau sebuah kerusi pun pada PRU 14 akan datang berdasarkan pemikiran rasional ketika ini, walaupun berlagak mengatakan yang mereka akan memenangi banyak kerusi. Secara lojiknya mereka akan kehilangan banyak kerusi. Tidak hairanlah ramai penganalisis politik yang meramalkan bahawa penglibatan PAS dalam PRU14 akan datang hanya sebagai ‘kacau daun’ sahaja, untuk menyenangkan laluan BN memenangi PRU berkenaan sama seperti parti BEBAS yang bertanding sebagai ‘pengacau’.

PAS dan BN menggunakan andaian sekiranya PAS bertanding atas dasar tiga penjuru atau lebih, maka kemenangan pasti memihak kepada BN. Itu dulu. Ini merupakan ‘pegangan’ ramai pemimpin UMNO dan PAS. Malah pemimpin pembangkang pun beranggapan demikian. Mungkin ada betulnya berdasarkan pengalaman lampau. Dengan sebab itulah apabila PAS memgatakan ia mahu meninggalkan PKR, ramai yang cuba memujuk, takut kalau-kalau terjadi tragedi BN akan menang besar.

Bagaimana pula sekiranya orang Melayu sudah mulai sedar, betul-betul sedar bahawa mereka tahu dan tahu peranan mereka dalam membuang undi disesuatu PRU. Kalau orang Melayu tahu dan sedar bahawa PAS tidak boleh menang walau satu kerusi pun apatah lagi untuk memerintah negara dan memerintah sebuah negeri, apakah orang Melayu akan terus mengundi PAS. Aku rasa tentu tidak. Jadi janganlah pemimpin PAS dan UMNO meletakkan harapan begitu tinggi atas strategi yang sedang mereka atur kini. Mungkin tak menjadi.

Sebagai contoh tentang strategi yang tak menjadi. Sudah beberapa kali pilihanraya, samada PRU atau PRK, pihak BN meletakkan ramai calon Bebas dengan harapan untuk memecah undi. Hampir keseluruhan strategi itu gagal, kerana pengundi merasakan bahawa memberikan undi kepada calon Bebas adalah perbuatan yang sia-sia. Tidak mendatangkan apa-apa hasil. Justeru calon Bebas hampir kesemuanya hilang wang pertaruhan.

Aku merasakan begitulah yang akan menimpa nasib calon PAS nanti, apabila para pengundi sedar bahawa tidak ada apa faedah dan hasil yang diperolehi sekiranya mereka mengundi calon PAS. Apabila mereka sedar bahawa mengundi PAS hanya untuk memberikan laluan mudah kepada BN.

PAS tidak memberikan hala tuju yang jelas kepada pengundi. PAS dibawah kepimpinan Nik Aziz agak jelas tentang arah dan hala tuju. PAS di bawah Ustaz Fadhil Noor telah dapat menarik ramai golongan professional Islam yang amat sedar tentang peranan yang perlu dimainkan oleh mereka dalam negara Malaysia yang sebegini atur cara hidupnya. Ketika itu seolah-olah PAS berpijak di bumi nyata dan faham tentang kehendak negara Malaysia yang terdiri dari berbagai kaum dan bangsa. Dengan sebab itulah, pengundi begitu yakin tentang kemampuan pemimpin PAS ketika itu untuk mentadbir negara bersama dengan pemimpin bukan Melayu yang lain. Dan kesannya BN hilang kedudukan 2/3 mereka di parlimen.

BN kini yakin bahawa dengan tindakan beberapa pemimpin PAS yang menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan, mereka akan mengukuhkan kedudukan BN. Apakah para pemimpin PAS hanya sekadar berbangga dengan kemenangan BN. Bagaimana pula dengan PAS? Apakah PAS hanya berpuas hati dengan peranannya sebagai ‘belaci’ UMNO – BN. Aku yakin para ahli PAS di peringkat akar umbi tidak mahu PAS hanya sebagai ‘budak suruhan’ UMNO semata-mata.

Aku merasakan PAS akan kecewa dengan strategi yang dirancang kini dan yang paling amat menyedihkan nanti ialah bahawa kepimpinan PAS pada awal Kurun ke 21 adalah yang bertanggungjawab meruntuhkan terus parti PAS dan melenyapkan terus PAS yang dibina oleh Dr. Burhanuddin Hilmy, Ustaz Asri, Ustaz Fadil Noor dan TG Nik Aziz.

Apakah begitu nasib parti PAS selepas ini?

abuhassanadam
17 Mei 2017











No comments:

Post a Comment