Thursday, July 23, 2015

DS MOHD NAJIB HARUS MEMIKIRKAN UNTUK BERUNDUR

            Walaupun tidak terdapat bukti jelas menunjukkan yang beliau bersalah, namun berdasarkan kepada pemerhatian dan persepsi rakyat terbanyak di negara ini menunjukkan bahawa agak sudah sampai masanya DS Najib memikirkan untuk berundur. Mungkin buat sementara menunggu siasatan oleh ‘task force’ selesai melakukan tugas dan tanggungjawab mereka. Dengan berbuat demikian, DS Najib akan dilihat sebagai ‘wira’ yang berpegang kepada prinsip ‘berani kerana benar dan takut kerana salah’.

            Sudah agak lama juga nama DS Najib diheret dan terheret dalam kemelut IMDB. Rakyat Malaysia begitu gusar dengan peristiwa sebegini. Walaupun rakyat Malaysia tidak mudah melimparkan sebarang tuduhan dan seboleh-bolehnya mahu terus menafikan yang DS Najib tidak terlibat dalam kemelut ini namun apabila mengenangkan tentang terlalu banyak ‘bukti’ yang ditunjukkan oleh pihak-pihak tertentu menyebabkan rakyat ‘terpaksa’ mempercayainya juga walaupun belum dibuktikan dengan sahih. Kata orang tua-tua, ‘ jikalau tidak ada angin takkanlah pokok bergoyang’ sentiasa ‘bermain dibenak-benak rakyat Malaysia. Dan bagi mereka yang sentiasa menggunakan bahasa Inggeris pula tentu tidak lari dari memikirkan bahawa ‘ there is no smoke without fire’.

            DS Najib seolah-olah ‘bergantung nyawa’ kepada ‘sokongan’ yang diberikan oleh segelintir, samada yang berada ‘disekeliling’ beliau ataupun daripada penyokong yang memberikan sokongan membuta tuli dengan tidak tahu menahu apa sebenarnya ‘biji buah’ yang membolehkan mereka memberikan sokongan. Mungkin agak keterlaluuan sekiranya dikatakan bahawa sokongan yang diperolehi oleh DS Najib daripada ‘penyokong-penyokong’  itu semacam tidak ikhlas. Apatah lagi sekiranya ‘sokongan’ itu dikaitkan dengan sumbangan material. Dan berkemungkinan juga bahawa yang memberikan ‘sokongan’ itu mengharapkan sesuatu daripada DS Najib. Lantas mereka ‘bermati-matian’ memberikan sokongan. Ikhlas tidaknya sokongan sedemikian akan dapat dilihat apabila DS Najib sudah tidak terdaya memberikan ‘habuan’ yang diperlukan oleh mereka.

            Pengalaman dan penderitaan yang dilalui oleh Saudara Anwar Ibrahim mungkin sudah memadai untuk DS Najib memikirkan tentang nasib yang mungkin akan menimpa, sekiranya DS Najib masih terus menerus mendengar dan mempercayai ‘kata-kata dan nasihat’ penyokong yang berada disekeliling beliau. Aku tidak mengatakan bahawa nasihat daripada para penasihat disekelilingnya tidak perlu diikuti. Bukan begitu. Tetapi peribahasa Melayu juga ada mengatakan bahawa, ‘ dengar cakap Enggang makan buah Belolok, dengar kata orang kita terjun lubuk’.

            DS Najib harus jangan lupa kepada kata orang tua-tua juga bahawa ‘yang ketawa ramai dan yang menangis akan keseorangan’. Jikalau peristiwa yang menimpa diri Saudara Anwar Ibrahim dijadikan contoh maka dapat dikatakan bahawa yang terus menerus memberikan sokongan (peribadi ataupun politik) kepada beliau sehingga kini adalah rakan-rakan yang pernah ‘menangis’ dan ‘ketawa’ bersama beliau ketika beliau sihat dan ketika beliau derita. Bagi rakan-rakan yang kononnya ‘mengaku memberikan sokongan padu’ ketika beliau berkuasa, akan terus menerus meninggalkan beliau kesepian dan keseorangan. Ini termasuklah ‘rakan-rakan’ beliau (dan rakan-rakan DS Najib juga) yang kini berada dalam kabinet DS Najib sendiri dan yang merupakan rakan-rakan yang memberikan ‘sokongan penuh’ kepada DS Najib sendiri kini. Mungkin nasib DS Najib tidak sama dengan yang dialami oleh Saudara Anwar Ibrahim. Mungkin….

            Rakyat Malaysia dari keturunan apa sekali pun adalah golongan rakyat yang bersifat dan berperangai lain daripada yang lain. Maksudnya amat berbeza dengan masyarakat di negara-negara lain. Mungkin sekiranya peristiwa sebegini berlaku kepada masyarakat dari negara lain, mungkin sesuatu yang tidak diingini berlaku kepada negara. Lihat sahaja apa yang dilakukan oleh masyarakat Filipina sebagai tindak balas terhadap ‘kezaliman’ yang dilakukan oleh Ferdinand Marcos dan isterinya. Dan lihat juga bagaimana tindakan rakyat Indonesia dalam usaha mereka untuk menentang pemerintahan Suharto yang dikatakan ‘menzalimi’ rakyatnya. Tetapi itu bukan caranya yang diamalkan oleh rakyat Malaysia. Dan agaknya sejarah telah mengajar kita supaya tidak bersikap sedemikian. Cara kita mendapat kemerdekaan negara juga berbeza dengan cara bangsa-bangsa lain memperolehi kemerdekaan negara. Bangsa Malaysia lebih mementingkan rundingan berbanding dengan kekerasan.

            Tunku Abdul Rahman mengundur diri setelah dirasakan oleh rakyat bahawa sumbangannya berkhidmat untuk negara sudah ‘sampai ke hujung’. Begitu juga dengan Tun Hussein Onn mengundurkan diri setelah dirasakan olehnya bahawa ada tokoh lain yang boleh menggantikan beliau dan memberikan sumbangan seterusnya kepada negara. Tun Dr. Mahathir dan Pak Lah pun begitu juga. Cuma yang menampakkan kelainan ialah ‘pengunduran’ ayahanda DS Najib sendiri, Tun Abdul Razak yang lebih ‘disayangi’ oleh Tuhan dan rakyat yang ‘terpaksa’ meninggalkan kita dalam suasana ketika rakyat amat memerlukan sumbangannnya. Allah menyayangi beliau. Al Fatihah……

            DS Najib masih disayangi oleh rakyat Malaysia. Perlu dihayati juga peribahasa Melayu yang mengatakan bahawa,’laut mana yang tidak berombak dan bumi mana yang tidak ditimpa hujan’.  Dan walaupun dirasakan bahawa DS Najib sememangnya mahu terus menerus berkhidmat kepada negara tetapi jangan dilupakan juga bahawa, ‘panas kadang-kadang tidak sampai ke petang dan hujan pula di tengah hari’.

            Yang paling penting DS Najib harus berpegang kepada Qada dan Qadar dan ketentuan Allah.

abuhassanadam

23 Julai 2015

6 comments:

  1. Dah nak naik jenuh mengikuti perkembangan isu 1MDB yg pada terasnya tersirat atau tersurat mahu PM Najib berundur atau ditendang, namun Najib bagaikan buat de dan mengamalkan sikap pekak badak walaupun orang paling berpengalaman menendang pemimpin2 besar negara, Madey tak berjaya setakat ini untuk berbuat demikian....mungkin anak berdarah Bugis ni merasakan bahawa istilah ' berundur' tak/ tiada dalam perbendaharaanya betapa imejnya tercalar atau diconteng arang dek isu 1MDB.

    ReplyDelete
  2. Dah nak naik jenuh mengikuti perkembangan isu 1MDB yg pada terasnya tersirat atau tersurat mahu PM Najib berundur atau ditendang, namun Najib bagaikan buat de dan mengamalkan sikap pekak badak walaupun orang paling berpengalaman menendang pemimpin2 besar negara, Madey tak berjaya setakat ini untuk berbuat demikian....mungkin anak berdarah Bugis ni merasakan bahawa istilah ' berundur' tak/ tiada dalam perbendaharaanya betapa imejnya tercalar atau diconteng arang dek isu 1MDB.

    ReplyDelete
  3. Satu pandangan/nasihat yang baik supaya berundur dengan cara terhormat................

    ReplyDelete
  4. Satu pandangan/nasihat yang baik supaya berundur dengan cara terhormat................

    ReplyDelete
  5. Bugis pirates of Malaysia lawan Apa name THE MOVIES.
    good rating , box office , number one the wold.

    ReplyDelete
  6. Bugis pirates of Malaysia lawan Apa name THE MOVIES.
    good rating , box office , number one the wold.

    ReplyDelete