Saturday, June 20, 2015

PKR AKAN MENOLAK KERJASAMA DENGAN PAS

            Yang jelasnya kini ialah DAP telah memutuskan kerjasama dengan PAS. Tentang siapa yang memulakan ‘penolakan’ itu bukanlah ‘tugas’ aku untuk menganalisisnya. Pemimpin tertinggi PAS mengatakan  bahawa mereka belum membuat keputusan muktamad keluar dari Pakatan Rakyat walaupun keputusan Muktamar dulu menegaskan bahawa PAS sebulat suara memutuskan hubungan dengan DAP ekoran daripada keputusan sebulat suara dari Majlis Ulama.

            TG Haji Hadi menegaskan juga bahawa PAS tidak akan keluar dari Pakatan Rakyat. Sebagaimana dinyatakan beliau bahawa "... PKR tidak membuat kenyataan yang menunjukkan kami berpisah dan menunjukkan pakatan antara dua parti masih ada...dan DAP setakat ini, kami tak dapat keputusan secara rasmi (cuma) kami dapat melalui laporan media sahaja,"

            Sebenarnya bak kata peribahasa Melayu, ‘nasi sudah menjadi bubur’. Maknanya Pakatan Rakyat sudah tidak ada lagi. Sebenarnya bagi aku Pakatan Rakyat sudah ‘hancur’ bermula daripada peristiwa ‘Langkah Kajang’ lagi apabila kelihatan pertelagahan yang bukan kecil tentang isu Menteri Besar Selangor yang mana nampk dengan jelas bahawa TG Haji Hadi tidak begitu merestui pelantikan DS Wan Azizah sebagai Menteri Besar berkenaan. Berbagai helah digunakan untuk menyatakan ketidak-setujuan itu. Namun disebabkan malu alah dengan kepimpinan Saudara Anwar Ibrahim pada ketika itu maka perkara sedemikian telah dapat dibendung. Agaknya.

            Kini kumpulan ‘ustaz’ dalam PAS merasakan bahawa mereka sudah cukup kuat dan boleh berdiri sendiri dan tidak perlu lagi menyertai Pakatan Rakyat. Dengan demikian Majlis Ulamanya dan Muktamarnya membuat keputusan memutuskan hubungan dengan DAP tetapi kepimpinannya mengatakan bahawa mereka masih berada dalam Pakatan Rakyat. Agak pelik juga dengan kenyataan sedemikian. Mana lagi ada Pakatan Rakyat. Sebagaimana ditegaskan Pakatan Rakyat sudah ‘mati’. Yang hanya ‘hidup’ ialah Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS. Sebagaimana yang dikatakan oleh Rafizi bahawa mereka sudah bercerai tetapi boleh ‘bertegur sapa’.

            Agak pelik dilihat oleh rakyat terbanyak tentang kenyataan TG Haji Hadi yang mengatakan bahwa PAS masih berada dalam Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat yang mana pula?

            Walaupun sentiasa dinafikan, namun rakyat melihat bahawa kepimpinan ‘ustaz’ dalam PAS lebih condong untuk bekerjasama dengan UMNO. Dan mungkin juga atas dasar sedemikianlah golongan yang bukan ‘ustaz’ diketepikan kerana sentiasa ‘menghalang’ sebarang percubaan untuk bergerak ke arah itu. Agaknya. Dan kini terbukti bahawa UMNO tidak akan ‘merestui’ hasrat PAS untuk melaksanakan hukum Hudud di Kelantan, walaupun tidak dinyatakan dalam bentuk penentangan. Untuk pengetahuan para ‘ustaz’ yang berpolitik, tindakan UMNO sedemikian dinamakan ‘sepak-terajang’ politik. Dalam bahasa politik yang agak tinggi dinamakan ‘Realpolitik’. Jikalau nak tahu lebih lanjut tentang hal demikian terpaksalah baca buku ‘The Prince’ oleh Machiavelli. Buku lama. Penulisnya seangkatan dengan Shakespeare.

            UMNO akan hanya ‘memandang sebelah mata’ kepada PAS kini. UMNO akan membiarkan PAS ‘kering dan layu’. Ibarat kekasih yang ditinggalkan, PAS akan merana dan ‘merajuk lari ke hutan rimba’ sebab untuk apa lagi gunanya PAS pada UMNO. PAS bukan lagi merupakan ancaman kepada UMNO. Jikalau dulu PAS mendapat sokongan daripada orang bukan Melayu adalah disebabkan PAS bersama-sama dalam Pakatan. Kini PAS sudah bersendirian dan berdasarkan pemerhatian ramai orang menunjukkan bahawa orang Melayu sendiri yang dulunya berjuang dalam PAS sudah meninggalkan PAS. Apakah orang Melayu yang menyertai UMNO akan menyokong PAS kini, ibarat ‘jauh panggang dari api’. PAS tidak mampu menggugat UMNO lagi.

            PKR yang mengamalkan ‘Realpolitik’ juga pastinya akan terus bekerjasama dengan DAP. Banyak sebabnya jika mahu diperincikan. Dan jelasnya PKR sudah awal-awal lagi menampakkan bersetuju dengan DAP agar Hudud tidak perlu disegerakan pelaksanaannya memandangkan suasana masyarakat dalam negara yang terdiri dari berbilang bangsa dan agama. ‘Policy Framework’ yang telah dipersetujui oleh Pakatan Rakyat adalah sedemikian. Tetapi PAS meneruskan juga hasrat sedemikian dengan ‘sokongan’ UMNO konnnya.

            Selagi PAS diperlukan oleh PKR, maka PAS boleh mendabik dada bahwa PAS berkawan rapat dengan PKR. Mengikut kata TG Haji Hadi ‘dalam Pakatan Rakyat’. Sekurang-kurangnya sehingga menjelangnya PRU yang ke 14. PAS diperlukan di Selangor kini untuk menstabilkan kedudukan politik di Selangor, demi kepentingan rakyat di negeri Selangor.

            Tetapi PAS tidak diperlukan di Pulau Pinang. Kedudukan PAS di Pulau Pinang adalah seperti ‘melukut di tepi gantang’. Masuk pun tidak mencukupi segantang dan jikalau keluar pun tidak mengapa. Kedudukan ahli PAS di Pulau Pinang adalah seperti peribahasa Melayu juga,’ hidung tak mancung pipi tersorong-sorong’. Tindakan para penjawat PAS dalam kerajaan negeri Pulau Pinang untuk meletak jawatan adalah tindakan  terpuji.

            Para ‘ustaz’ dalam PAS menyatakan bahawa PAS akan menjadi sebuah parti yang akan menentukan arah tuju politik negara. Aku tak berapa jelas. Mungkin agaknya.

abuhassanadam
20 Jun 2015
           

           


No comments:

Post a Comment