Saturday, June 6, 2015

PENASIHAT DS NAJIB HARUS DIPERSALAHKAN

            Bukan semua rakyat Malaysia menyalahkan DS Najib berkaitan dengan IMDB. Sehingga semalam (apabila berlakunya majlis ‘Nothing 2 hide’) rakyat Malaysia masih tertanya-tanya tentang betul-salahnya perjalanan IMDB. Rakyat masih belum menerima jawapan yang konkrit. Maknanya apa yang disoal oleh Tun Mahathir, YB Rafizi dan Tony Pua itu masih belum ada ‘hitam-putihnya’. Jadi rakyat belum lagi membuat ‘keputusan’. Namun disebabkan oleh ketidakhadiran DS Najib ke majlis ‘Nothing2 Hide’ itu telah menyebabkan rakyat mula yakin bahawa pasti ada sesuatu yang ‘tak kena’ dan hendak disembunyikan. Rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu  masih berpegang kepada pepatah Melayu yang mengatakan ‘Berani kerana benar dan takut kerana salah’.

            Yang menghairankan ramai orang ialah tentang mengapa DS Najib tidak menghadirkan diri. Bukankah itu merupakan forum yang amat sesuai bagi DS Najib menjelaskan sejelas-jelasnya mengenai IMDB itu. Kini sedang dipersoalkan tentang siapakah agaknya yang menasihatkan DS Najib supaya jangan menghadirkan diri ke majlis berkenaan. Sekiranya DS Najib hadir dan menjelaskan kepada yang hadir dan rakyat Malaysia umumnya dan ‘berbincang’ dengan panjang lebar dengar Tun Mahathir, pastinya rakyat (orang Melayu khususnya) menyanjung tinggi sikap sedemikian. Pastinya isu IMDB akan ‘ranap’ lambat laun, sekiranya perjalanan IMDB itu di atas landasan yang betul.

            Soalnya ialah nasihat siapa yang didengar oleh DS Najib untuk tidak hadir di majlis berkenaan. Apakah penasihat DS Najib faham hati dan budi orang Melayu. Apakah mereka (penasihat) faham tentang konsep ‘menghormati orang tua’ yang diamalkan oleh orang Melayu. Walaupun DS Najib mengaku yang beliau keturunan Bugis namun pada hakikatnya beliau masih dari rumpun Melayu (itupun sekiranya DS Najib sendiri masih merasakan dia dari rumpun Melayu Pahang).

            Orang Melayu tidak diajar  bersikap ‘kurang sopan’ dengan orang yang lebih tua. Walau macam mana marah sekali pun adab-sopan dan menghormati orang yang lebih tua harus dikekalkan. Itulah sifat pemimpin yang sebenar. Peribahasa Melayu mengatakan, ‘ular yang menyusup akar tidak akan hilang bisanya’. Tindakan kebelakangan ini yang menampakkan semacam DS Najib sudah mengenepikan ajaran ‘orang tua-tua’ mungkin membawa ‘keruntuhan’ yang lebih cepat daripada yang dijangkakan. Dengan jelas menampakkan bahawa perangai sedemikian bukan merupakan ‘perangai’ yang diwarisi oleh keluarga dan keturunan Tun Abdul Razak.

            Nasihat siapalah agaknya yang diikuti oleh DS Najib yang menyebabkan beliau terjadi demikian?

abuhassanadam

6 Jun 2015

No comments:

Post a Comment