Wednesday, June 24, 2015

PAS BERJAYA MEWUJUDKAN ‘GENG SURAU’

            Kadang-kadang kelihatan pemimpin-pimpin ustaz dalam PAS semacam bermimpi di siang hari dengan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan yang mereka keluarkan. Semacam mereka tidak sedar tentang realiti masyarakat kini. Sungguhpun PAS adalah untuk golongan ‘kaki angguk’ sedemikian namum PAS adalah juga untuk rakyat umum, rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan keturunan. Apakah wadah perjuangan PAS pimpinan golongan ustaz semata-mata itu bersesuaian dengan keadaan dunia sedang berubah dengan pantas kini. Ini lah persoalan yang patut dihazamkan oleh pemimpin PAS berkenaan.

            Pemimpin dari golongan ustaz juga seharusnya memikirkan apakah PAS yang ‘dilahirkan’  ini bersesuaian dengan keadaan masyarakat Malaysia kini. Apakah dengan ‘menaja’ hukum Hudud itu saja sudah boleh memajukan masyarakat Malaysia dengan mengenepikan isu-isu besar lain yang sedang melanda negara, walaupun tidak dapat dinafikan yang Hudud merupakan hukum Tuhan.  Kelihatan skop pemikiran PAS pimpinan golongan ustaz sudah semacam begitu sempit dan hanya layak dipanggil sebagai ‘Geng Surau’ sahaja.

            Meneliti semula kesan muktamar yang diadakan baru-baru ini menunjukkan bahawa semacam banyak resolusi yang tidak berapa kena mengenai keputusan muktamar berkenaan mengikut perkiraan aku. Tindakan perwakilan PAS yang semacam mengamalkan ‘herd mentaliti’ yang ‘menolak’ golongan bukan ‘ustaz’ dalam parti berkenaan merupakan sesuatu yang amat luar biasa. Tindakan itu merupakan penolakan total kepada golongan berkenaan dan pastinya menampakkan ada ‘tangan ghaib’ yang mengarahkan perwakilan bertindak sedemikian.

            Tidak pernah lagi aku melihat tindakan perwakilan dalam parti politik lain di Malaysia yang bersikap sedemikian rupa. Sekurang-kurangnya dikekalkan juga tokoh-tokoh lama yang bukan golongan ustaz yang telah menaikkan nama PAS seperti yang kelihatan kini. Bukan kecil peranan yang telah mereka mainkan dalam memertabatkan parti yang mereka pimpin. Dengan bertindak sedemikian rupa menampakkan bahawa ahli PAS amat mudah melupakan jasa dan sumbangan pemimpin yang telah berjasa. Ringkasnya ahli PAS merupakan golongan yang tidak mengenang budi.

            Mungkin kepimpinan PAS kini merasakan bahawa apa yang berlaku dalam PAS merupakan satu tindakan yang boleh diterima oleh masyarakat. Mungkin begitu anggapan mereka. Mereka lupa bahawa mengenepikan tokoh-tokoh (bukan ustaz) yang begitu berpengalaman adalah sesuatu yang amat merugikan parti berkenaan. Memperlihatkan tidak peka dan tidak rasionalnya kepimpinan PAS dalam menerajui parti yang sebelum ini disayangi oleh bukan sahaja oleh orang Melayu tetapi juga oleh bukan Melayu. Pemimpin PAS terdahulu khususnya TG Nik Aziz telah begitu berjaya menukar persepsi masyarakat Malaysia terhadap PAS. Tetapi malangnya ramai di Malaysia kini hanya melihat parti PAS sebagai ‘Geng Surau’

             Tentulah amat rugi kepada parti ini apabila tokoh-tokoh berpengalaman ‘terpelanting’ begitu sahaja disebabkan kejahilan setengah ahli yang merasakan bahwa kehadiran golongan bukan ustaz tidak diperlukan. Sedarkah golongan ini bahawa PAS telah menjadi buah mulut dan ‘diminati’ oleh golongan bukan Melayu ketika hayat TG Nik Aziz. Kepimpinan TG Nik Aziz telah berjaya menarik bukan sedikit jumlah pengundi bukan Melayu untuk menyokong perjuangan PAS. Jikalau tidak masakan Pakatan Rakyat dapat memenangi banyak kerusi yang sebahgian besar pengundinya terdiri dari pengundi bukan Melayu. Kerusi Parlimen Temerloh misalnya sudah hampir pasti ‘terpelanting’ ke tangan calon lain apabila pilihan raya diadakan sekiranya keadaan dalam PAS kini tidak diperbetulkan.

            Terus terang aku katakan rakyat Malaysia dari semua keturunan yang sudah mula ‘jatuh hati’ dengan PAS amat terkilan dengan keputusan Muktamar yang baru diadakan. Bukan bermakna bahawa mereka tidak menghormati proses demokrasi yang berjalan dalam pemilihan tetapi terkilan disebabkan ada antara  ahli yang tidak berpandangan jauh. Mungkin ada sebab-sebab tertentu yang menyebabkan ahli PAS yang terdiri dari golongan ‘ustaz’ bertindak demikian. Mungkin. Tetapi mereka harus melihat semula peribahasa Melayu yang berbunyi ‘ jangan marahkan nyamuk maka kelambu dibakar’. Janganlah disebabkan marah kepada segelintir menyebabkan ‘kesemua’ dimarahi.

             

            Kini perpaduan yang telah tercipta itu ‘lenyap’ sekelip mata, dilenyapkan oleh sebahagian besar ahli PAS yang cetek pemeikirannya . Tindakan golongan ini betul-betul menghiris hati kebanyakan rakyat Malaysia. Mereka sepatutnya mengkaji sedalam-dalammnya tindakan mereka sebelum bertindak dan mengenepikan golongan ‘bukan ustaz’. Apakah golongan ustaz dalam PAS ini sudah betul-betul mengkaji baik buruknya tindakan yang  mereka lakukan itu.

            Hampir pasti golongan bukan ustaz yang tidak terpilih dalam muktamar lepas akan meninggalkan PAS. Sudah hampir pasti. Hati mana yang tidak remuk redam sekiranya diperlakukan sedemikian apatah lagi telah ‘dikecam’ dan kadang-kadang ‘dihina’ dengan berbagai-bagai tuduhan yang amat menyedihkan. Dan ada ura-ura yang mengatakan bahawa golonga ini akan menubuhkan parti baru menggantikan perjuangan PAS yang lama.

            Ada yang mengatakan bahawa sekiranya mereka berbuat demikian maka mereka akan ‘tenggelam’. Mungkin. Tetapi melihat dan mendasarkan kepada sambutan rakyat Malaysia terhadap perjuangan mereka, maka sebenarnya ada ‘hikmah yang tersleindung’ sebagaimana yang dikatakan oleh setengah pemimpin PAS yang bukan ustaz itu. Cakap-cakap diluar khususnya dikalangan rakyat Malaysia dari semua kaum merasakan bahawa rakyat memerlukan kesinambungan dalam usaha untuk memenangi PRU14 nanti, menentang BN dan melahirkan kerajaan baru yang lebih adil dan effisen.

            Dan ‘perancangan’ yang sedang diatur itulah sebagai jawapannya.

abuhassanadam
24 Jun 2015



1 comment:

  1. Prestasi semua parti politik akan ditentukan oleh rakyat dlm pilihanraya, jadi tunggu PRU ke 14

    ReplyDelete