Friday, September 26, 2014

PAS  KENA TERIMA HAKIKAT MENGENAI KEKALAHANNYA DI PENGKALAN KUBUR

Disebabakan sikap dan tindakan sebahagian kecil pemimpin tertinggi PAS telah menyebabkan rakyat hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap PAS, khususnya bagi pengundi Pengkalan Kubur yang telah memberikan kemenangan besar kepada BN. Ini tidak bermakna bahawa pengundi Pengkalan Kubur begitu sayang dan sudah berubah hati kepada BN. Tidak. Masih ramai yang tidak ‘berminat’ kepada BN. Namun disebabkan sikap kepimpinan tertinggi PAS yang dianggap bertindak diluar batas-batas kepimpinanan maka seolah-olah pengundi telah menghukum mereka.

Tentulah tidak adil menuduh PAS secara keseluruhannya yang menyebabkan kekalahannya di Pengkalan Kubur dan kesalahan itu sepatutnya dipertanggungjawabkan kepada setengah pemimpin tertinggi yang telah ‘melukakan’ hati dan perasaan ramai orang khususnya ahli PAS itu sendiri.

Biarlah aku berterus terang dalam mengemukakan pandangan dan pendapat aku mengenai keadaan PAS kini. Telah banyak aku hubungi rakan-rakan yang merupakan ahli PAS tegar merasa begitu kecewa dengan tindakan beberapa orang pemimpin tertinggi PAS yang sentiasa merasakan bahawa mereka adalah sentiasa berada di landasan yang betul sedangkan mereka sudah jauh menyimpang dari ‘landasan yang sebenar’. Dan yang menjadi ‘the straw that broke the camel’s back’nya ialah apabila TG Haji Hadi Awang mengeluarkan perkataan “BARUA’ dalam Muktamar PAS yang diadakan di Johor tempoh hari. Seolah-olah mereka tidak percaya yang perkataan sedemikian boleh terkeluar dari mulut seorang pemimpin tertinggi PAS.

Bukan sahaja rakyat umum yang amat kecewa dengan tindakan sedemikian, tetapi ramai ahli PAS yang sudah merasa agak ‘fed-up’ dengan kepimpinan tertinggi PAS. Ini merupakan luahan hati kebanyakan rakyat terutamanya yang sentiasa taat dan setia kepada perjuangan PAS. Mereka merasakan bahawa sekiranya PAS masih diterajui oleh pemimpin yang sebegini, PAS juga akan menjadi ‘dinosaur’ lamabt laun.

Yang anihnya pula terdapat juga beberapa orang ‘pengikut’ yang sentiasa membuta tuli dalam ‘menegakkan benang basah’ yang berkaitan dengan tindakan kepimpinan tertinggi PAS itu. Bagi mereka apa yang disarankan oleh pemimpin mereka adalah betul belaka dan tidak berani untuk ‘membetulkan’ kesalahan pemimpin mereka. Tindakan sebegini sudah tidak dapat diterima lagi oleh masyarakat yang hidup dalam Kurun ke 21. Mereka harus faham bahawa rata-rata golongan muda kini adalah golongan terpelajar yang sekurang-kurangnya memiliki kelulusan bertaraf Sijil Pelajaran Malaysia. Dan sudah ramai anak muda kita yang berkelulusan Diploma dan Ijazah. Justeru tentulah mereka dapat berfikir dan dapat berfikir dengan waras dan kritikal.

Saranan Tuan Haji Mat Sabu (Abang Mat) Timbalan Presiden PAS agar PAS seharusnya membuat perubahan mendapat reaksi yang berbagai-bagai. Tinjauan rambang yang dibuat merasakan bahawa apa yang disuarakan oleh Abang Mat itu agak bersesuaian dengan keadaan yang dilalui oleh PAS kini. Namun saranan itu telah disanggah dan ditentang habis-habisan oleh sebahagian ahli PAS dalam muktamar yang diadakan. Malah ada sebahagian kecil ahli PAS yang telah berani memecah tradisi PAS dengan mengadakan ‘tunjuk perasaan’ dengan cara keluar dari dewan ketika Abang Mat menyampaikan ucapannya. Apakah ‘sehebat’ itu PAS kini yang pimpinan oleh golongan ulamak?

Apa yang berlaku dalam PAS kini tidak ubah seperti apa yang berlaku pada masyarakat Melayu/Islam pada awal kurun ke 20 apabila berlaku pertentangan pendapat antara Kaum Muda dan Kaum Tua. Kaum Muda yang dipelopori oleh Syed Sheikh Al Hadi, Dr Burhanuddin Hilmy dan beberapa orang tokoh lain telah berusaha untuk membuat perubahan kepada masyarakat Melayu sepertimana yang disarankan oleh Tuan Haji Mat Sabu dan rakan-rakannya dalam PAS sekarang. Namun apa yang disarankan oleh Kaum Muda telah ditentang habis-habisan oleh Kaum Tua yang juga mendapat sokongan dari pihak British dan istana. Golongan Kaum Tua merasakan apa yang disarankan oleh Kaum Muda itu tidak sesuai dengam mansyarakat Melayu ketika itu.

Tentulah ada perbezaan antara konflik ‘Kaum Muda-Kaum Tua’ awal Kurun ke 20 itu dengan konflik “Konservatif-Progresif’ yang berlaku dalam PAS kini. Namun begitu ternampak juga bibit-bibit persamaannya. “Kedegilan’ pihak Konservatif dalam PAS mempertahankan ‘keulamakan’nya begitu jelas dan seolah-olah tidak boleh diubah dan dirungkai. Mereka seolah-olah tidah faham dan tidak mahu faham bahawa  masyarakat Malaysia kini sedang berubah dan ‘berputar’ dengan cepat dan rancak.

Apakah mereka tidak sedar dan nampak tentang suatu perubahan yang cukup besar berlaku dalam PRU 13 yang lalu dimana kelihatan golongan bukan Melayu ‘berlumba-lumba’ untuk menyokong Pakatan Rakyat walaupun calonnya dari parti PAS. Apakah itu bukan merupakan satu pertanda yang psoitif yang sepatutnya dihayati oleh golongan Konservatif dalam PAS. Apakah golongan ulamak dalam PAS ini tidak melihat bagaimana petugas-petugas PRU 13 yang terdiri dari golongan bukan Melayu sanggup mengibarkan bendera PAS dan sanggup memacakkan bendera PAS pada kereta dan kawasan rumah mereka. Apakah itu bukan perubahan drastik yang perlu diperhati dan difikirkan secara serious oleh kepimpinan PAS.

PAS masih mahu ‘menegakkan benang basah’nya dengan mengatakan kekalahan PAS di Pengkalan Kubur bukan disebabkan oleh konflik yang berlaku dalam PAS kini. Mereka masih mengatakan  bahawa kekalahan PAS itu bukan disebabkan tindakan kepimpinan PAS yang ‘tidak patut’ dalam menyelesaikan konflik pelantikan Menteri Besar Selangor. Pengundi Pengkalan Kubur tentu juga mahu memberi isyarat kepada PAS terutamanya kepada kepimpinan tertingginya agar menghormati prinsip setiakawan terutama ketika rakan seperjuangan dalam keadaan kesusahan dan memebrlukan pertolongan.

Tindakan PAS yang seolah-olah menikam kawan dari belakang dalam kemelut politik di Selangor itu telah dizahirkan oleh sebahagian pengundi Pengkalan Kubur yang memberikan isyarat jelas kepada PAS bahawa perbuatan yang sedemikian tidak harus diamalkan oleh pemimpin tertinggi PAS yang sentiasa mendasarkan tindakan mereka kepada prinsip keislaman

abuhassanadam
26 September 2014




2 comments:

  1. I only wish there are more Malaysians like you. Thank you.

    ReplyDelete
  2. Natijahnya, pengundi bawah 35 tahun mula menyertai DAP yg dilihat lebih firm dalam politik Malaysia

    ReplyDelete