Monday, June 16, 2014

USTAZ KAZIM BOLEH LAKUKAN……

Antara banyak isu yang disentuh oleh Ustaz Kazim melalui ceramah-ceramahnya melalui TV, yang paling menarik perhatian aku ialah apabila beliau menceritakan tentang disiplin sekolah yang ditadbirnya. Aku kagum apabila beliau mengatakan bahawa kesemua meja tulis pelajar-pelajar di sekolahnya tidak terdapat walau sedikit pun contengan-contengan dan beliau juga mengatakan bahawa tidak ada sebarang ‘lukisan’ yang terdapat didinding-dinding tandas di sekolahnya. Dar lubuk hati aku yang amat ikhlas ini, izinkan aku mengucapkan syabas kepada Ustaz Kazim yang bukan sahaja boleh berceramah dan memberi nasihat kepada masyarakat dengan berkesan tetapi juga ‘mengota apa yang dikatakannya’.

Lantas aku terfikir dan menyoal diriku. Mengapa kebanyakan sekolah-sekolah kerajaan tidak dapat melakukan apa yang boleh dilakukan oleh Ustaz Kazim sedangkan peruntukan kewangan bagi sesebuah sekolah menengah atau rendah kerajaan jauh lebih tinggi daripada peruntukan sekolah Ustaz Kazim.

Aku tidak menafikan bahawa ada di antara sekolah kerajaan yang mempunyai disiplin yang cukup baik. Mungkin banyak. Namun disebabkan oleh beberapa sekolah yang mengalami keadaan disiplin yang amat teruk, telah menyebabkan masyarakat menganggap kebanyakan sekolah-sekolah kerajaan berkeadaan demikian.

Aku masih teringat bagaimana Sekolah Menengah Sains Selangor di bawah pimpinan pengetuanya, Tuan Haji Ariffin bin Abdul Rahman pada suatu ketika dahulu. Bagi aku merupakan sekolah contoh. Bukan sahaja dari segi kebersihan tetapi dari segi disiplin pelajar dan juga penumpuan yang diberikan oleh Pengetuanya dari segi didikan agama Islam. Pernah diceritakan kepada aku bahawa beliau tidak pernah gagal walau sekalipun untuk berjemaah solat subuh bersama pelajarnya (sekiranya beliau tidak diarah bertugas diluar sekolah). Dan beliau memastikan kehadiran di solat subuh adalah 100%.

Aku masih ingat juga tentang sebuah sekolah rendah di daerah Macang Kelantan yang mempunyai tandas yang cukup bersih. Ketika berada dalam tandas berkenaan seolah-olah aku berada dalam tandas di sebuah hotel bertaraf lima bintang sedangkan tandas yang aku masuki itu hanya merupakan tandas sebuah sekolah rendah di kawasan kampung.

Aku pernah juga berkesempatan melawat sebuah sekolah di daerah Temerloh Pahang di sekitar awal tahun 1990an. (Malangnya aku sudah tidak dapat mengingati nama sekolah berkenaan. Yang aku ingat ialah Pengetuanya bernama Saudara Osman. Secara kebetulan rakan baik aku ketika di University dulu) Aku amat kagum melihatkan tentang sifat amanah yang dipamerkan oleh pelajar-pelajar di sekolah berkenaan. Yang menyebabkan aku kagum ialah tentang kantin yang tidak ada penjaga. Pelajar-pelajar hanya ‘membeli’ makanan dengan cara meletakkan wang mereka di suatu tempat dan mengambil makanan mengikut harga yang ditetapkan.

Persoalannya mengapa keadaan sebegini boleh berlaku dan tidak boleh dilakukan di tempat-tempat lain.

Ini bergantung kepada sikap pelajar, guru-guru dan yang terpenting sekali ialah sikap pengetuanya. Sekiranya kesemuanya berperanan untuk bergerak sederap memajukan sekolah, maka tidak ada sebab mengapa perkara sedemikian tidak boleh dilakukan. Dan berkemungkinan juga disebabkan penumpuan pengetua sekolah dan guru-guru adalah kepada pencapaian dari segi akademik telah menyebabkan  hal-hal yang berkaitan dengan disiplin dan kebersihan telah diabaikan. Mungkin….

Kementerian Pendidikan Malaysia seharusnya menggalakkan warga kementerian untuk melawat sekolah Ustaz Kazim di Ipoh dan mempelajari apa yang telah dilakukan oleh guru-guru dan pelajar-pelajar di sana. Tidak perlulah pihak Kementerian Pendidikan menghantar pegawai-pegawai ke luar negara ( ke Jepun misalnya) untuk mengkaji cara-cara perjalanan sekolah di sana. Tidak perlu. Kita boleh lihat dan dapati bahawa di negara kita juga ada ‘tokoh’tokoh’ pendidik kita yang mampu melakukannya.

‘Unsung heroes’ yang sebegini amat patut diketengahkan, dan  bukan guru-guru yang hanya pandai mengampu tokoh-tokoh politik……

abuhassanadam
16 Jun 2014



No comments:

Post a Comment