Wednesday, February 5, 2014

DS MOHD NAJIB DALAM DILEMMA MEMILIH CALON

Tidak mudah rasanya DS Mohd Najib untuk membuat keputusan tentang siapa yang akan menjadi calon di PRK Dun Kajang. Ini merupakan suasana, ‘telan mati emak, diluah mati bapak’. Terlalu banyak pertimbangan yang perlu dilakukan sebelum sesuatu keputusan muktamad dicapai. Dan kesemua isu yang perlu dikaji dan dipertimbangkan semestinya memeningkan. Seperti menarik benang dalam tepung – takut benang tidak dapat ditarik tetapi tepung yang bertaburan. Seperti memukul ular, takut ular tidak mati tetapi kayu akan patah. Dan sememangnya sudah muncul ‘ular’ yang mendabik dada mahu bertanding di PRK berkenaan.

Sayup-sayup terdengar kisah ‘from wilderness’ tentang ada ‘ular’ yang merasakan dirinya paling layak untuk menentang DS Anwar ibrahim di PRK Dun Kajang nanti. Tidak tahulah aku kelayakan yang dimilikinya yang beliau merasakan dirinya paling layak. Rakyat tentunya merasakan bahawa ‘tokoh’ yang sebegini memang merupakan ‘tokoh’ yang tidak sedar diri. Bayangkanlah sekiranya DS Mohd Najib pun dirasakan tidak begitu ‘berkelayakan’ menentang DS Anwar, inikan pula ‘tokoh’ yang mendabik dada mengatakan dirinya amat layak. Yang anihnya pula, TV arus perdana memberikan ruang untuknya menyatakan ‘hasrat hati’. Bagi aku amat malang…..

Tidak mudah bagi UMNO (BN) menghadapi calon seperti DS Anwar Ibrahim. Terlalu gah dan gagah. Terlalu hebat tokohnya untuk ditentang oleh calon BN. Dan sekiranya dilihat dari segi sejarahnya, hampir kesemua ‘pemimpin’ yang ada dalam UMNO kini adalah merupakan ‘anak buah’ DS Anwar Ibrahim, yang juga merupakan ‘pengikut yang setia’ sebelum DS Anwar dianiaya. Ini termasuklah TS Muhyiddin sendiri. Itu belum lagi dikira DS Mohd Zahid Hamidi, DS Mohd Shafie Afdal dan DS Hishamuddin Hussein. Kesemuanya adalah merupakan ‘anak buah’nya. Tak tahulah aku samada beliau meninggalkan mereka atau mereka meninggalkan beliau.

Yang boleh dikira layak untuk bertanding di PRK Dun Kajang tidak lain dan tidak bukan ialah Tun Mahathir sendiri. Takkanlah beliau sanggup ‘mencemarkan duli’……

Kenyataan DS Najib pada peringkat awal kemelut di Kajang ini menampakkan bahawa seolah-olah BN ‘tidak mahu masuk campur urusan Pakatan Rakyat itu’. Beliau pernah dipetik oleh Malaysiakini sebagai berkata, “This is not my problem, this is their (PKR) problem. I have no problem,”. Maknanya semacam DS Najib hanya mahu membiarkan kemelut itu ditangani sendiri oleh PKR. Dan berkemungkinan juga apa yang dimaksudkan oleh PM itu ialah BN tidak mahu bertanding di PRK Kajang. Semacam begitu andaiannya.

Tetapi kini DS Mohd Najib terpaksa terlibat dalam kemelut ini. Mahu tak mahu kena terlibat juga nampaknya. Ketua Pemuda UMNO, YB Khairi Jamaluddin telah menegaskan bahawa UMNO seharusnya meletakkan calonnya sekiranya pihak MCA tidak dapat meletakkan calon yang sesuai di sana. Dan yang menyebabkan DS Mohd Najib agak ‘pening’ ialah apabila Tun Mahathir sendiri menyatakan bahawa BN mesti meletakkan calon bertanding walaupun ada yang merasakan bahawa itu merupakan satu pembaziran. Malaysiakini telah memetik kenyataan Tun Mahathir sebagai berkata,’ "BN should contest. We always contest all by-elections….in out history, we have never given walkover to anyone. We always contest,"

Apabila disebut mengenai pembaziran, bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Saifuddin Abdullah telah lebih awal menegaskan bahawa “Kalau hendak dikatakan membazir, maka Umno lebih awal membazir kerana berlaku dua pilihan raya kecil (PKR) di Selangor suatu ketika dahulu di parlimen Kuala Selangor dan Dun Permatang. Ini bermakna bukan kali pertama ada wakil rakyat letak jawatan bagi memberi laluan pilihan raya kecil diadakan,”
DS Mohd Najib terpaksa membuat keputusan dalam masa terdekat. Satu isu yang merupakan ‘duri dalam daging’ ialah samada meletakkan calon UMNO ataupun calon dari MCA. Masing-masing ada ‘kekuatan’ dari segi rasional mengapa mereka perlu bertanding. DUN Kajang mempunyai 48% Melayu, 41 % Cina dan selebihnya kaum lain. Calon dalam PRU 13 yang lalu ialah dari MCA dan kalah teruk. Justeru pihak UMNO pula merasakan bahawa seeloknya diberikan peluang kepada calon UMNO untuk menguji nasib di situ. Ada juga betulnya. Tetapi sekirannya dirujuk kepada persepakatan dalam Barisan Nasional, calon tradisi di Kajang adalah dari MCA.

Pasti memeningkan kepala DS Mohd Najib memikirkan isu ini. Dan belum lagi isu-isu lain yang akan dihadapi oleh BN apabila beradapan dengan DS Anwar Ibrahim. Terlalu banyak isu yang akan didedahkan oleh pembangkang berbanding dengan BN yang ketandusan isu yang memberangsangkan kecuali fitnah ‘seks dan liwat’ yang dikatakan akan ‘ditayang’ semula sepanjang kempen DUN Kajang ini.

Rakyat Malaysia sudah hampir pasti keputusan PRK Dun Kajang nanti, Insyallah. Namun sebagaimana yang dikatakan oleh DS Dr. Ahmad Zahid Hamidi, ‘ Lawan tetap lawan’  ( Bernama) seolah-olah meminjam slogan yang selalu dilaungkan oleh Pakatan Rakyat.

abuhassanadam

5 Februari 2014

No comments:

Post a Comment