Thursday, September 5, 2013

DEBAT RAFIZI –NAZERI, RAKYAT MASIH MENUNGGU…….

DEBAT RAFIZI –NAZERI,  RAKYAT MASIH MENUNGGU…….

Dato’ Zaid Ibrahim ( bekas Menteri Kabinet Malaysia) dalam twetternya berkata,’ Rafizi bukan ‘nobody’ tapi  ‘Somebody’. Dia anak muda yang pintar dan berani. Kalau takut nak debat usahlah perlekehkan dia’. Kemudian dia menyambung lagi, ‘’ Semua takut debat Rafizi. Menteri 30 orang. Cabinet paling besar dan satu pun tak mahu debat. Apa nak jadi’.

Aku setuju benar dengan kenyataan Dato Zaid Ibrahim. Walaupun pendek saja ‘posting’nya tetapi memberikan makna yang berbagai-bagai untuk difikirkan oleh rakyat.  DS Nazeri Aziz menolak pelawaan Rafizi untuk berdebat dengan mengatakan bahawa seolah-olah Rafizi itu bukan lawannya. ‘ He is a nobody. I would be wasting my time debating him. Namun demikian DS Nazeri mengakui bahawa, ‘ But he is an MP now. He can see me in parliament and can engage me all he wants there’.

YB Rafizi telah mencabar DS Nazeri untuk berdebat ekoran daripada kenyataan beliau yang mengatakan, ‘ He ( Rafizi) is a stupid kid. He has accused me of being corrupt before, although I wasn’t’. Kenyataan  DS Nazeri yang agak biadap itu ( menyifatkan rakan yang sama-sama menjadi anggota parliament) telah menyebabkan YB Rafizi ingin berdebat dan bertarung fikiran untuk mengemukakan hujah masing-masing dan untuk memberi peluang kepada DS Nazeri membuktikan kenyataannyanya ‘membodohkan’ YB Rafizi.

DS Nazeri mengatakan YB Rafizi itu ‘nobody’. Ye ke?. Bagi Dato Zaid Ibrahim, YB Rafizi adalah ‘somebody’ dan merupakan seorang anak muda yang cerdik dan berani. Siapa sahaja yang mengenali Rafizi dari dekat ataupun dari jauh pasti menyetujui kenyataan Dato Zaid Ibrahim. 51 % rakyat Malaysia pasti menyokong kenyataan Dato Zaid Ibrahim itu. Dari segi kelulusan dan pencapaian, aku rasa YB Rafizi jauh lebih hebat dari DS Nazeri. Cuma yang agak berbeza sikit ialah DS Nazeri jadi menteri UMNO sedangkan Rafizi hanya sebagai ahli Parlimen. Namun pada anggapan rakyat terbanyak ( 51%)  kedudukan Rafizi lebih mulia daripada kedudukan DS Nazeri. Aku agak ler…..

Alasan yang dikemukakan untuk mengelak daripada perdebatan itu ialah bahawa debat boleh diadakan di parlimen. Di Parlimen nanti mereka boleh berdebat. Di parlimen agak  lain situasinya. Apabila dikemukakan alasan yang sedemikian, 51% rakyat Malaysia sudah faham mengapa itu alasannya. 51% rakyat Malaysia tahu keadaan perjalanan perbahasan di parlimen. Rakyat tahu peranan yang boleh dilakukan oleh Speaker dalam melaksanakan tugasnya. Dan yang anihnya YB Khairi Jamaluddin  pun berpendapat bahawa sebarang debat mesti diadakan di parlimen.

Hairan juga aku mengapa YB Khairi pun bersikap demikian. Sepatutnya YB Khairi menunjukkan kelainan dari segi berfikir berbanding dengan ‘rakan-rakan’ yang lain. Aku menganggapkan beliaulah yang boleh diharapkan untuk mengeluarkan pendapat dan fikiran yang bernas berbading dengan ‘rakan-rakan’nya yang lain. Rupanya kini YB Khairi juga sudah ‘setaraf’ dengan ‘rakan-rakan’ yang lain.

Aku pernah lihat perdebatan antara Rafizi dengan YB Khairi. Di London dan di Malaysia. Memang hebat. Kedua-duanya hebat. Sepatutnya begitulah yang diharapkan oleh rakyat Malaysia. 51% rakyat Malaysia mengharapkan keadaan sedemikian berterusan supaya 47% rakyat Malaysia yang lain faham dan tahu tentang perkembangan negara dan boleh mengikuti contoh sedemikian. Perdebatan bukan merupakan pertandingan menang-kalah tetapi akan memberikan input yang berguna kepada pendengar dan penonton. Itu yang kita perlukan dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi tulin.

Debat di parlimen memang wajar. Semua orang tahu. Tetapi tentulah ada perbezaannya antara debat di parlimen dengan debat di luar. Di Amerika Syarikat pun ada ‘ Presidential  Debate’. Di Great Britiain pun ada. Walaupun perdebatan di parlimen masih diteruskan. Begitu juga dengan negara-negara maju yang lain yang mengamalkan demokrasi tulin. Di Malaysia ada dijalankan perbahasan, tetapi hanya diadakan untuk melatih pelajar-pelajar berdebat. Budaya berdebat di Malaysia rupanya hanya untuk pelajar-pelajar sekolah menengah dan juga pelajar University sahaja. Dan bukan merupakan satu budaya di Malaysia perdebatan antara pemimpin politik.

Dulu DS Anwar Ibrahim pernah mengusulkan perdebatan mengenai isu negara dengan DS Najib Tun Abdul Razak. Tak jadi. Sekurang-kurangna DS Ahmad Shabery Cheek ‘berani’ juga berdebat dengan DS Anwar Ibrahim walaupun berakhir dengan ‘mulut yang berbuih’. Sekurang-kurangnya beliau ‘anak jantan’ juga dan berani berdebat dengan seorang yang sememangnya dikenali di peringkat dunia global sebagai seorang pembahas yang unggul.

YB Nurul Izzah pernah juga mengusulkan satu perdebatan dengan Raja Nonchik berkaitan dengan isu di Lembah Pantai, ketika menjelangnya PRU 13 dulu. Ditolak juga oleh Raja Nongchik dengan berbagai alasan. Tak jadi juga perbahasan itu, sedangkan rakyat menunggu-nunggu agar dapat diadakan perdebatan itu. Tambahan pula rakyat Lembah Pantai yang ‘celik’ mengharapkan sangat perdebatan itu. Mereka kecewa.

Kini rakyat Malaysia kecewa lagi apabila DS Nazeri menolak pelawaan YB Rafizi untuk berdebat berkaitan dengan harga minyak. Rakyat ingin hendak tahu apakah rasionalnya harga minyak dinaikkan. Rakyat mengetahui melalui ‘one-way traffic’ sahaja melalui penerangan dari RTM dan TV3 dan akhbar-akhbar milik kerajaan. Rakyat ingin tahu juga pandangan pihak pembangkang  mengenai kenaikan harga minyak itu. Sekiranya DS Nazeri tidak begitu berani ( ataupun merasa takut ) berdebat dengan YB Rafizi, apakah tidak ada ‘wakil’ dari kerajaan BN ( UMNO) untuk menebus marwah yang tercela itu.

Semacam betul pula kata Dato Zaid Ibrahim,’ ‘’ Semua takut debat Rafizi. Menteri 30 orang. Cabinet paling besar dan satu pun tak mahu debat. Apa nak jadi’.

Pihak kerajaan harus meneliti kenyataan Dato Zaid Ibrahim itu yang merupakan seorang bekas Menteri Kabinet Malaysia pada suatu ketika dulu. Mungkin agaknya sekiranya beliau berada dalam kabinet Malaysia, beliau akan menyahut cabaran YB Rafizi itu.

Walau bagaimana pun rakyat Malaysia masih menunggu perdebatan Nazeri-Rafizi ini.

abuhassanadam
5 September 2013


1 comment: