Friday, March 22, 2013

PAS DITAHAP KEYAKINAN YANG AMAT TINGGI


PAS DITAHAP KEYAKINAN YANG AMAT TINGGI

Ucapan dan kenyataan YM Raja Dr. Nazri Shah  mengenai PAS disuatu majlis tempoh hari sangat menarik perhatian aku. Aku yakin dia membuat ucapan demikian bukan kerana dia menyokong kuat parti PAS.  Mana boleh dia menyebelahi mana-mana parti politik. Tetapi sebagai seorang intelek ( dari Harvard pulak tu ) dia bebas melahirkan pandangan dan fikirannya mengenai sesuatu perkara.

Aku ‘respect’. Bukan disebabkan baginda Raja Muda dari negeri Perak ( negeri kesayanganku ) tetapi kerana pandangan dan fikirannya berkaitan dengan PAS yang disampaikan secara jujur dan ikhlas. Aku ikuti ucapannya beberapa kali dalam You Tube. Ikhlas buah fikiran yang disampaikannya. Ada pulak puak-puak tertentu yang mengatakan  agar ucapan baginda itu jangan dipolitikkkan. Takkanlah semua isu mesti ditutup dengan ayat ‘ jangan dipolitikkan”

YM Raja Dr. Nazrin bercakap perkara yang berkait dengan fakta. Itu hakikat yang sebenarnya. Bukan direka-rekanya. Itu bukan isu politik walaupun yang diperkatakannya adalah mengenai parti politik. Dia bercakap mengenai parti PAS, tetapi bukan bermakna dia menyokong parti PAS. Begitu jugalah jikalau dia memperkatakan tentang UMNO tidak semestinya dia menyokong parti UMNO.

Aku nak tumpang ‘semangkuk’ memperkatakan mengenai perjuangan PAS. Jikalau Raja Dr. Nazrin memperkatakan PAS melalui kajian dan research yang dijalankannya tetapi aku akan memperkatakan PAS dari segi pengalaman. YM Raja Dr. Nazrin mungkin belum lahir semasa PAS ditubuhkan tetapi aku dah berada di sekolah rendah. Darjah 1.

PAS ditubuhkan pada 23 Ogos 1951 di negeri Perak.  Presiden yang pertama ialah Tuan Haji Ahmad Fuad ( 1951-1953). Beliau kemudiannya meletakkan jawatan pada 26 September 1953 untuk bersama-sama dengan Dato’ Onn Jaafar ( UMNO). Dan antara tokoh yang mengasaskan parti PAS dan sememangnya aku kenal dan tahu ialah Ustaz Abdul Samad Noh  ( Pengetua Sekolah Al-Yahyawiyah Padang Rengas), Ustazah Datin Sakinah  ( rakan sekolah emak aku di Sekolah Arab Kampung Lalang, Padang Rengas ) isteri Dato Isteri Haji Muda ( pernah jadi Presiden Pas), Ustaz Hassan Shukri ( pernah belajar di Al Yahyawiyah dan pemimpin pelajar di bawah bimbingan Ustaz Abdul Samad Noh) dan lain-lain.

Jadi kebanyakan tokoh-tokoh awal PAS aku tahu dan kenal. Takklah rapat kerana perbezaan usia. Jadi apa yang dikatakan oleh YM Raja Dr. Narin itu adalah tepat. Betul belaka. Aku tengok dengan ‘ mata kepala ‘ aku zaman kesusahan yang dilalui oleh PAS dan zaman ‘ keyakinan yang begitu tinggi’ yang dialami oleh PAS kini. Pernah aku lihat sambutan yang diberikan oleh masyarakat  pada tahun-tahun 50an, 60an , 70an dan 80an dalam majlis penerangan yang mereka adakan sememangnya amat daif sekali. Hanya beberapa orang saja yang mahu mendengar penerangan dari mereka. Tidak terdapat walau seorang pun kaum asing ( bukan Melayu ) yang mahu mendengar penerangan dari tokoh-tokoh PAS pada ketika itu.

Ustaz Abdul Samad Noh pernah bertanding dalam beberapa pilihanraya umum. Beliau  pernah bertanding di Selama Perak menentang  Dato Haji Hussein bin Haji Yaakub dan tewas dalam perebutan kerusi berkenaan. Pernah bertanding juga di tempat sendiri ia itu di Padang Rengas dan tewas juga. Sehinggalah akhir hayatnya, beliau tidak pernah memenangi sebarang kerusi samada peringkat negeri atau Parlimen.

Yang aku kagum ialah semangat kental perjuangan mereka. Walaupun tewas dalam satu PRU, mereka tidak putus asa dan meneruskan perjuangan. Sepatutnya mereka boleh bersikap ‘ merjauk’ kerana sedih melihatkan perjuangan mereka tidak diendahkan oleh orang Melayu Islam pada ketika itu. Yang paling menyedihkan mereka agaknya  ialah orang Melayu pada ketika itu rela memilih calon bukan Melayu yang bertanding diatas tiket Perikatan atau Barisan Nasional.

Penumpuna PAS pada PRU 1955 hanyalah untuk menawan hati orang Melayu di kawasan Luar bandar. Pada ketika itu Peraklah yang menjadi kubu kuat PAS disamping Kelantan dan Terengganu. PAS berjaya memenangi satu kerusi di Perak dan itulah sahaja merupakan  satu-satunya kerusi yyang bukan dimenangi oleh parti Periktana pada ketika itu. Perikatan mendapat 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Berikutan dengan itu pada tahun 1956 Dr. Burhanuddin dipilih sebagai Presiden PAS menggantikan Haji Abbas. !965, Dr. Burhanuddin dan rakan-rakan dalam PAS pernah ditangkap berkaitan dengan tuduhan beliau bercita-cita menubuhkan satu kerajaan buangan di Karachi.

Dalam PRU 1959, PAS memenangi 13 daripada 104 kerusi yang dipertandingkan yang mana bahan kempen mereka ketiak itu adalah negara Islam. Sedangkan Perikatan disokong oleh orang Melayu di kampung dan golongan guru-guru yang mengukuhka kedudukan UMNO ketika itu. Parti PAS pada ketika itu memang mendapat sambutan di kawasan Pantai Timur, Kelantan dan Terengganu. Tapi kini telah merbak dan berjaya mempengaruhi juga  penduduk pantai Barat seperti Perak, Johor. Bukan itu saja kalau dulu PAS hanya diminati orang Melayu sahaja tapi kini berjaya mempengaruhi bukan Melayu juga.

Kini PAS ‘ditahap keyakinan yang amat tinggi ‘ ( meminjam kata-kata YM Raja Dr. Nazrin ). Memang PAS dalam keadaan sedemikian. Tidak pernah lagi aku tengok PAS sebegitu hebat seperti sekarang ini. Yang mengkagumkan dan yang menghairankan orang macam aku ( yang mengiktui perkembangan PAS semenjak dari awal ) ialah kecenderungan masyarakat bukan Melayu kepada Parti PAS. Bukan bermuka-muka ataupun sengaja nak mengambil hati.

Kekaguman orang bukan Melayu terhadap kepimpinan Tuan Guru Nik Aziz di Kelantan adalah suatu perkara yang bukan dibuat-buat. Dan kemungkinan yang terjadi perubahan sedemikian ialah kerana dulu mereka kurang dijelaskan tentang perjuangan PAS yang sebenar, disamping diputarbelitkan kearah sesuatu yang negatif. Dengan demikian mereka menjauhkan diri. Tetapi kini setelah diberikan penerangan dan penjelasan yang disokong oleh pengaruh media baru, kefahaman orang bukan Melayu terhadap perjuangan PAS semakin jelas. Bukan faktor itu saja.  Tentulah banyak faktor-faktor lain lagi yang membuahkan keadaan sepertimana yang ada sekarang.

Kesimpulannya ialah, tepat kalau dikatakan bahawa PAS kini berada disuatu tahap keyakinan yang amat tinggi.


Abuhassanadam
22 Mac 2013

No comments:

Post a Comment